Ringkasan AI
- Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan RM100 juta kepada Felda untuk menampung kos operasi ladang akibat penyasaran subsidi diesel, bagi memastikan pendapatan peneroka tidak terjejas.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pentingnya rundingan dan perbincangan dalam menyelesaikan masalah peneroka, dan beliau sedia meluluskan lebih banyak peruntukan jika perlu.
- Anwar menjelaskan penyasaran subsidi diesel diperlukan untuk mengelakkan ketirisan subsidi kepada warga asing dan golongan kaya, walaupun ia mendapat kritikan hebat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil bagi memastikan pendapatan peneroka tidak terkesan dengan penyasaran tersebut.
Tegas Perdana Menteri, tiada masalah untuk beliau meluluskan peruntukan sebegitu asalkan ada perbincangan dengannya bagi memberitahu setiap masalah, bukan dengan maki hamun dan menuduh kerajaan zalim.
“Peneroka perlu subsidi diesel. Baik, runding, mana permasalahan dia? Saya bagi, saya luluskan RM100 juta.
“Mereka jawab lagi, ada (kenderaan ladang) tak daftar macam mana? Hari ini saya putuskan daftar dengan Felda dan kita dari jalan bantu mereka.
“Kalau perlu lagi RM20 juta tambahan, saya luluskan, tiada masalah. Jawabnya bukan dengan maki hamun…menang sorak, kampung tergadai.
“Bunyi hebat tapi kerja tak jalan. Bicara tentang Islam, Melayu, ummah tapi masa perintah, sakau terus-menerus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Peneroka Felda 2024 di MAEPS Serdang pada Ahad.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Felda, Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Dalam ucapan sama, Perdana Menteri sekali lagi menerangkan sebab utama kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi meskipun keputusan itu mendapat kritikan hebat.
Jelasnya, masalah utama adalah subsidi tersebut dinikmati 3.8 juta warga asing di Malaysia, selain golongan kaya dan syarikat yang mencatat keuntungan beratus juta ringgit.
Katanya lagi, semua Perdana Menteri sebelum ini juga menyokong keputusan itu namun tidak mengakuinya kerana mahu bermain politik.
“Ada yang marah? Tentunya. Boleh kita elak? Tak boleh. Berpuluh-puluh tahun kita bicara soal penyasaran subsidi, tiada yang berani.
“Saya pun bukan berani sangat. Tapi ada pilihan? Tiada pilihan. Nak jadi pemimpin, nak orang tepuk tangan sahaja kah? Betul orang tepuk, salah pun orang tepuk.
“Soalan saya, apakah boleh kami terus bagi wang pada orang asing dan orang kaya? Tak boleh jawabnya. Maka penyasaran subsidi adalah caranya,” ujarnya.
Tambah beliau, keputusan membabitkan penyasaran subsidi diesel boleh ditangguh tetapi akan menyebabkan lebih banyak ketirisan berlaku.
“Boleh saya tangguh? Boleh. Kalau saya nak popular, saya tangguhlah. Tapi setiap kali tangguh, puluhan bilion ringgit masuk ke orang asing dan orang kaya,” tegas beliau.