KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam, kerana disyaki terlibat menawarkan khidmat pelacuran secara dalam talian di ibu negara menerusi serbuan Op Noda, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata kesemua individu berumur dalam lingkungan 31 hingga 61 tahun itu, ditahan dalam sebuah kereta di hadapan sebuah hotel di Jalan Stesen Sentral, di sini pada 5 petang.

"Lelaki warga tempatan (berumur 61 tahun) yang berperanan sebagai penghantar, telah ditahan bersama dua wanita warga asing yang dipercayai pelacur, di dalam sebuah kereta," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ku Mashariman berkata siasatan awal mendapati lelaki penghantar yang sudah melakukan kerja itu sejak tiga tahun lepas, dibayar RM180 bagi tugasnya yang bermula jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

Beliau berkata dua wanita warga asing yang dipercayai sudah terlibat dengan kegiatan itu sejak tiga bulan lepas pula, menerima RM120 bagi setiap pelanggan.

Ku Mashariman berkata dalam operasi itu pihaknya turut merampas sebuah kereta, dua telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM500 dan kondom.

Beliau berkata lelaki itu kini direman tiga hari sehingga Isnin, manakala dua wanita warga asing direman empat hari sehingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372B dan Seksyen 373 (1) Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA