Tindakan pantas seorang nelayan muda yang mencurigai kelakuan seorang kanak-kanak yang kelihatan sugul di sebuah stesen bas di sini akhirnya berjaya mematahkan satu cubaan culik daripada berlaku.

Mohd Saifullah Mat Amin, 24, berkata beliau sedang memandu lori milik syarikatnya ketika ternampak adik Muzaffar Mohamad, 11, yang bersendirian di stesen bas Taiping sebelum berada tidak sedap hati.

Katanya, beliau baru sahaja kembali dari laut dan menghentikan niat untuk memancing berikutan hujan lebat pada hari tersebut sebelum ternampak dengan kanak-kanak itu.

BACA: Keluarga bersyukur pelajar tahfiz hilang ditemui selamat

"Saya dah lalu tempat adik Muzaffar duduk di sudut perhentian bas sebab hujan tengah lebat dan saya hendak segera pulang ke rumah.

"Entah, hati saya rasa tak sedap sangat dan saya buat pusingan pusingan-u untuk bertanya kepada kanak-kanak yang bersendirian di situ," katanya kepada Astro AWANI.

Jelasnya, dia tidak dapat melupakan ayat pertama yang diluahkan oleh adik Muzaffar sewaktu bertanya mengenai tujuannya duduk di perhentian bas itu.

"Saya tunggu ayah, kawan ayah kata ayah akan datang ambil saya tapi dari pagi ayah tak sampai-sampai," kata Muzaffar.

Mohd Saifullah berkata beliau mula bertanya pelbagai soalan ketika beliau mengajak kanak-kanak itu dalam lorinya untuk ke restoran setelah diberitahu tidak menjamah makanan sejak malam semalam.


"Muzaffar memberitahu saya bahawa dia mengikut kawan ayahnya yang tidak dikenali ke tempat berkenaan dan menginap di hotel pada malam sebelumnya, saya mula curiga.

"Saya kemudian membuat satu nota di perhentian bas, manalah tahu ayahnya ke sana sebelum menghantarnya ke Masjid India berhampiran sekitar 4.30 petang," katanya.

Saifullah kemudiannya membuat keputusan untuk membawa adik Muzaffar ke balai polis berhampiran kerana berasa ada yang tidak kena apabila diberitahu bahawa ayahnya berada di Pulau Pinang.

"Selepas saya sampai di sana dan selesai membuat laporan, barulah polis menjelaskan bahawa adik Muzaffar disyaki terlibat dalam sebuah kes penculikan dan ibubapanya sedang buntu memikirkan di mana dia berada.

"Saya tak sangka pun naluri saya untuk membantu adik ini dapat membantu mengelakkan sebuah kes culik, tapi saya gembira dia kini selamat bersama keluarganya,"katanya.

Sebelum ini, Muzzafar dilaporkan hilang sejak pagi Jumaat setelah membonceng motosikal seorang lelaki yang berpura-pura menawarkan bantuan di Jambatan Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata tindakan segera Mohd Saifullah wajar dicontohi oleh masyarakat setempat dalam bersama membanteras cubaan kes jenayah.

"Tindakan orang awam, atau lelaki berkenaan membawa adik Muzaffar iaitu mangsa culik adalah contoh rakyat bertanggugjawab dan berjaya mencegah sesuatu yang buruk daripada berlaku.

"Kepada mereka yang ternampak sesuatu yang tak kena dan mencurigakan, jangan buat tak tahu kerana kita masing-masing ada tanggungjawab.

"Segera maklum kepada pihak berkuasa,kerana kita perlu sama-sama menjaga kebajikan dan prihatin antara satu sama lain,"katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Harrith Kam berkata semua pihak perlu memainkan peranan dan penjaga atau ibubapa tidak boleh terus mudah mempercayai orang lain untuk membantu bagi mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku.