KUALA LUMPUR: Kerajaan tiada sebarang cadangan untuk membuat perubahan kepada sistem percukaian sedia ada, ataupun memperkenalkan cukai baharu, bagi menambah pendapatan negara yang terjejas akibat COVID-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia termasuk cadangan sesetengah pihak untuk melaksanakan kembali Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang telah dimansuhkan sebelum ini.

“Buat masa kini, kita masih lagi kaji semua jenis cukai yang dapat tingkatkan hasil negara. Tetapi bagi saya, rakan-rakan saya, kami fikir timing is important (masa yang tepat adalah penting). Kita percaya bila ekonomi baru saja nak pulih, bukan masanya untuk memperkenalkan cukai baharu, atau apa-apa perubahan pada sistem cukai yang ada.

“Kita harus kaji kaedah yang terbaik dan paling efisien bagi memastikan hasil negara dapat naik dan dapat bantu ekonomi kita, serta rakyat yang terkesan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada sidang media hari ini, sempena sesi penerangan ‘Strategi Pemulihan Ekonomi Negara’ susulan pengumuman pakej stimulus Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Rabu.

BERITA LANJUT MENYUSUL