Bagi negeri Kumpulan B pula termasuk Selangor dan Kuala Lumpur, pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka bermula hari ini iaitu pada 18 April 2022.
Tinjauan Astro AWANI di beberapa sekolah di Kuala Lumpur mendapati keadaan agak sesak pada awal pagi terutamanya ketika ibu bapa sibuk menghantar anak masing-masing.
BACA: Tiada lagi penggiliran di sekolah bermula 17 April - Radzi
Keadaannya hampir sama ketika zaman sebelum pandemik, cuma kali ini ia lebih teratur dan mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.
Begitupun, beberapa ibu bapa yang ditemui, baik dari sekolah rendah atau sekolah menengah mengakui lebih mudah dan selesa menghantar anak ke sekolah berbanding Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
Pekerja swasta, Abdullah Jusoh berkata, walaupun PdPR ada juga kebaikannya namun dia lebih suka bersekolah secara bersemuka.
BACA: Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0 diumum bulan ini - Radzi
Walaupun anaknya menangis ketika dihantar ke sekolah namun dia berpendapat belajar di sekolah lebih baik kerana anaknya lebih memberikan tumpuan di kelas.
“Mengikut saya, dua-dua itu ada kelebihan masing-masing (PdPR dan secara bersemuka). Lebih baik begini daripada PDPR.
“Kalau PDPR itu, dia macam banyak main sikit, dia tak tumpu sangat. Kalau di sekolah ini, dia berdepan.
“(Nampak tadi anak nangis, dah biasa ke?) Dah biasa tu, dia buat perangai itu kita tahu dah. Daripada nak datang tadi lagi dah," katanya kepada Astro AWANI.
Pendapat sama turut dikongsi Rohana Zainal yang lebih sukakan sekolah secara bersemuka berbanding PdPR.
“Tiada penggiliran lagi baik. Macam kami yang kerja nak pantau PdPR itu agak susah sikit.
“Macam anak akak ni, dia kanak-kanak istimewa. Bila PDPR kita nak kena pantau, itu masalah pada saya. Bila dah bersemuka ini lagi Alhamdulillah.
“Dia suka di sekolah. Kalau kat rumah PdPR tu, budak-budak istimewa ini susah sikit, lebih elok bila dia di sekolah,” ujarnya.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, keputusan tiada lagi penggiliran di sekolah dibuat selepas pihaknya melakukan penelitian terhadap kelancaran penggal baharu sesi persekolahan yang dibuka pada 21 Mac lepas.
Begitupun, beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak mengambil ringan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP), lebih-lebih lagi ketika menuju fasa peralihan ke endemik.