KANGAR: Sebanyak lapan sekolah di Perlis akan ditutup esok berikutan terkesan banjir dengan kesemua pelajar sekolah itu belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga keadaan kembali pulih seperti sedia kala.


Ringkasan AI
  • Lapan sekolah di Perlis akan ditutup esok akibat banjir, dan pelajar akan belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga keadaan pulih.
  • Sekolah yang terlibat termasuk SMK Syed Hussein, SK Tengku Budriah, SJKC Hwa Aik, SM Agama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah, SMK Dato Sheikh Ahmad, SK Arau, SK Guar Nangka, dan SK Titi Tinggi.
  • Keputusan penutupan diambil untuk memastikan keselamatan pelajar dan guru. Sebanyak 305 mangsa banjir ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Arau dan Padang Besar.


Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin berkata sekolah terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein, Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Budriah, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Aik dan Sekolah Menengah Agama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah di Kangar.

Selain itu, SMK Dato Sheikh Ahmad; SK Arau dan SK Guar Nangka bagi kawasan Arau, manakala SK Titi Tinggi di Padang Besar.

"Semua sekolah tersebut telah memohon untuk pulang awal hari ini, dan esok semua pelajar akan mengikuti pembelajaran secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rose Aza berkata keputusan untuk menutup sekolah itu diambil bagi memastikan keselamatan pelajar dan guru terjamin.

"Pihak sekolah juga diarah untuk memastikan pelajar terus dapat mengakses bahan pembelajaran melalui platform PdPR yang disediakan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud memaklumkan sebanyak 305 mangsa banjir ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan kawasan Arau dan Padang Besar setakat pukul 12 tengah hari tadi.

"PPS SK Guar Nangka dan SK Arau masing-masing terdapat 71 orang dan 104 orang manakala seramai 130 orang lagi berada di PPS SK Titi Tinggi di Padang Besar," katanya.

-- BERNAMA