Pengunjung ke Zoo Negara bertambah kira-kira 10 peratus, iaitu mencatat sebanyak 13,200 orang sejak anak panda yang dilahir di zoo itu mula dipamerkan kepada orang ramai sejak 17 Nov lepas.

Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly Ahmat Lana berkata sebelum itu, jumlah pengunjung ke zoo sehingga 24 Nov adalah seramai 12,000 orang, dan dalam masa tidak sampai sebulan jumlah pengunjung meningkat sebanyak 1,200 orang.

Anak panda kepada pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang dari China menjadi daya tarikan orang ramai untuk melihat sendiri anak panda itu dengan lebih dekat pada musim cuti sekolah ini meskipun keadaan cuaca di ibu negara tidak menentu, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun musim hujan, orang ramai tetap mengunjungi Zoo Negara dan anak panda menjadi tumpuan pengunjung di sini.

"Anak panda itu dipamerkan selama satu jam dari 2.30 petang hingga 3.30 petang dan setakat ini ia (anak panda) dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling," katanya.

Rosly berkata anak panda itu menunjukkan tahap kesihatan yang menggalakkan sejak pertama kali dipamerkan dengan kenaikan berat badan kepada lapan kilogram berbanding 6.2 kilogram sebelum ini dan perkembangan anak panda itu akan terus dipantau.

Anak panda yang dilahirkan pada 18 Ogos lepas ditempatkan di dalam bilik kaca telah dipamerkan selepas tiga bulan dilahirkan.

Rosly berkata berikutan peningkatan jumlah pengunjung, pihak Zoo Negara bercadang untuk melanjutkan waktu pameran di masa akan berdasarkan kesesuaian keadaan dan keadaan anak panda itu.

Ibu dan bapa kepada anak panda itu telah dipinjamkan oleh kerajaan China sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing, tiba di negara ini pada 21 Mei 2014.

Sementara itu, pertandingan menamakan anak panda gergasi itu yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) yang berakhir pada 17 Dis lepas, telah mendapat 22,830 penyertaan.

Keputusan pertandingan secara dalam talian itu dijangka diumumkan menjelang Februari depan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di Zoo Negara, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan baru-baru ini.