Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata pelantikan itu merupakan satu pengiktirafan penting kepada jabatan berkenaan bagi melaksanakan enam peranan utama yang akan memberi impak besar kepada sektor kebombaan negara.
"Satu daripada inisiatif strategik JBPM dalam Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) 2021-2030 ialah perlu diwujudkan satu entiti yang mengetuai industri kebombaan di negara ini.
"Entiti ini banyak cuma apabila berkisar kebakaran dan api, orang terus teringat bomba. Justeru itu, JBPM telah memohon kepada JPK untuk menjadi ILB di bawah Kementerian Sumber Manusia dan kita dilantik sebagai ILB ke-28 yang ada di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Keselamatan Kebakaran dalam Pengurusan Industri 2024 di sini hari ini.
Pada majlis itu, JBPM diwakili oleh Nor Hisham menerima watikah pelantikan sebagai ILB bagi industri kebombaan secara rasmi yang disampaikan Pengarah Bahagian Hubungan Industri dan Kerjasama Strategik JPK Faizah Harun.
Nor Hisham berkata menerusi pelantikan itu, antara peranan utama yang perlu dilaksanakan JBPM ialah memastikan sumber tenaga mahir berasaskan kemahiran kebombaan mencukupi di pasaran buruh untuk memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang dan menjadi jurucakap kepada industri kebombaan, mewakili kepentingan sektor ini dalam perbincangan utama.
Beliau berkata selain itu, JBPM juga berperanan sebagai penghubung antara industri dan JPK dengan memberi maklum balas mengenai keperluan sektor, perkongsian pintar dan kaedah perkongsian kos serta merancang dan memacu pertumbuhan serta perkembangan industri kebombaan dalam menghadapi cabaran masa depan.
Pelantikan itu juga katanya adalah elemen penting bagi menyokong pelaksanaan pelan tindakan, inisiatif, program dan aktiviti di bawah empat teras utama DKPN 2021-2030 iaitu persekitaran yang selamat, amalan dan pembudayaan keselamatan kebakaran, kerjasama strategik yang inklusif serta pemantapan kapasiti dan keupayaan.
Sementara itu, beliau berkata selain menumpukan kepada lima negeri yang dijangka berdepan bencana banjir tahap kritikal pada Monsun Timur Laut kali ini, JBPM juga memberi perhatian kepada negeri lain seperti Melaka yang sering berlaku banjir kilat.
"Kita juga memantau rapat lekukan tropika kalau berlaku di kawasan Melaka dan Lembah Klang yang menyebabkan hujan lebat seperti berlaku pada 2021 melibatkan empat negeri iaitu Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Pahang sehingga mengakibatkan banjir besar," katanya.
-- BERNAMA