KUALA LUMPUR: Kejadian longkang berlubang dikenal pasti sebagai punca berlaku hakisan yang seterusnya menyebabkan mendapan di salah sebuah rumah di Blok D, Flat PKNS Taman Keramat Permai di sini.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan penemuan itu diperolehi selepas lawatan teknikal oleh Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Bangunan dan Seni Bina serta Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPAJ ke lokasi kejadian semalam.

MPAJ pada lawatan itu juga mengenal pasti beberapa kerosakan lain dan MPAJ akan melakukan kerja pembaikan di kawasan terlibat untuk keselamatan penduduk.

"Kerja yang akan dilaksanakan melibatkan pembaikan longkang dan mendapan tanah serta pembaikan struktur lantai. Kerja-kerja pembaikan akan dijalankan dalam masa terdekat dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu," menurut kenyataan itu.

Selasa lepas, Bernama melaporkan kerisauan penduduk flat berkenaan ekoran kejadian tanah mendap yang semakin kerap berlaku, menimbulkan kebimbangan kepada lebih 2,000 penduduk di situ.

Penduduk mendakwa kejadian terbaru berlaku pada 20 Ogos lepas apabila koridor tingkat bawah di bahagian belakang sebuah unit rumah di Blok D flat berkenaan mendap sepanjang hampir dua meter.

-- BERNAMA