Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata jalan terbabit kelihatan melengkung dan semakin menurun justeru terpaksa ditutup kerana bimbang berlaku pergerakan air bawah tanah.
Beliau berkata kejadian berkenaan berlaku berkemungkinan faktor cuaca kerana hujan berterusan sejak petang semalam.
"Pemantauan dan penilaian dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada malam tadi dan jalan ditutup untuk semua kenderaan.
"Kami risau ada pergerakan air bawah tanah dan sedang menunggu penilaian oleh pihak JKR sama ada jalan itu selamat digunakan atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sik berkata pengguna jalan raya boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Jelawang-Sungai Sam untuk ke Gua Musang.
"Berdasarkan laporan daripada JKR daerah, mendapan tanah telah dikesan seawal 10 pagi semalam namun jalan masih boleh dilalui dan dibuka kepada semua kenderaan.
"Pihak terbabit telah membuat tindakan awal dengan meletakkan kon penghalang dan papan tanda sebagai peringatan tanah runtuh untuk makluman kepada pengguna jalan raya," katanya.
Beliau berkata anggota penyelamat dan JKR akan melakukan pemantauan secara berterusan untuk mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku.
-- BERNAMA