KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India, di sini akan diteruskan sehingga mangsa ditemui.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata setakat ini pasukan SAR tidak menetapkan tempoh pencarian.

"Setakat ini, kita belum menetapkan sejauh mana pencarian ini (sampai bila) tetapi mesyuarat petang tadi memutuskan kita akan meneruskan operasi SAR sehingga mangsa dijumpai," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian pada Ahad.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Sharif dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat.

Mengulas lanjut, Sulizmie berkata operasi SAR yang memasuki hari ketiga melibatkan 104 anggota pelbagai agensi keselamatan.

Sebelum itu, Rozihan dalam sidang media sama memaklumkan operasi SAR hari ini memfokuskan lurang kumbahan (manhole) lima dan enam, masing-masing terletak berdekatan Agro Bank dan Bulatan Kinabalu.

Bagaimanapun, setakat petang ini operasi pencarian mangsa tidak membuahkan hasil.

Mangsa warga India dikenali sebagai Vijayaletchumi, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam tanah jerlus di Masjid India pada pagi Jumaat.