KUALA LUMPUR: Dua anjing pengesan dari Unit Pengesan K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang pernah terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tanah runtuh di Batang Kali kembali ‘beraksi’ membantu pencarian mangsa wanita warga India yang hilang selepas terjatuh ke dalam lubang di Jalan Masjid India, di sini.

Frankie dan Denti dibawa ke lokasi kira-kira pukul 5 petang bagi mengesan sebarang petunjuk baharu atau keberadaan mangsa di lokasi itu selepas teknik semburan air bertekanan tinggi dilakukan sebelum ini.

Kedua-dua anjing itu kemudian dibawa masuk ke lubang jerlus bersama pengendali dan melakukan pengesanan kira-kira 10 hingga 15 minit.

Sebelum ini, Frankie dan Denti yang sudah tujuh tahun berkhidmat diterbangkan ke bumi Turkiye selama 14 hari bagi membantu operasi khas SAR gempa bumi mega yang meragut kira-kira 50,000 nyawa pada Februari, tahun lalu. 

Sementara itu, pasukan SAR turut dilihat menambah kampit beg pasir di sekitar lokasi mendapan tanah bagi menghalang sebarang limpahan air daripada memasuki lokasi berkenaan.

Pada Jumaat lalu, mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter susulan insiden mendapan tanah di Jalan Masjid India, di sini.