NEW DELHI: Pakistan pada Selasa berikrar tidak akan berkompromi dalam memerangi keganasan, sehari selepas puluhan nyawa terkorban dalam rentetan serangan militan di wilayah Balochistan.

Perdana Menteri Shehbaz Sharif mempengerusikan mesyuarat kabinet persekutuan di Islamabad untuk membincangkan serangan itu yang mengakibatkan kira-kira 50 orang terbunuh, termasuk 14 anggota keselamatan.

"Masanya telah tiba untuk menghapuskan keganasan," katanya seperti yang dipetik oleh agensi berita milik kerajaan, Associated Press of Pakistan.

"Kita perlu bergerak ke hadapan dengan tekad yang kukuh. Tidak boleh ada sebarang kelemahan," ujarnya.

Shehbaz berkata keganasan digunakan terhadap Pakistan untuk menghalang kemajuan negara, merosakkan projek Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) di Balochistan dan menggugat pakatan rapat negara itu dengan China.

-- BERNAMA