Ringkasan AI
- Hubungan dengan AS: Malaysia dan Pakistan sepakat untuk meneruskan hubungan baik dengan Amerika Syarikat, sambil menegaskan bahawa kedua-dua negara adalah merdeka dan bebas.
- Kerjasama ASEAN dan China: Kedua-dua negara juga menekankan kepentingan hubungan dengan negara jiran di ASEAN dan memperkukuhkan hubungan dengan China.
- Kecaman terhadap Israel: Malaysia dan Pakistan mengutuk tindakan Israel di Gaza dan Lubnan, menyatakan bahawa pencerobohan tersebut mengabaikan peraturan antarabangsa dan hak asasi rakyat Palestin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah antara perkara yang dibincangkan bersama rakan sejawatnya, Shehbaz Sharif, dalam pertemuan dua hala di kediaman rasmi Perdana Menteri Pakistan itu di sini, hari ini.
“Kami membincangkan keperluan untuk meneruskan kerjasama dengan Amerika Syarikat sebagai negara yang penting dari segi pelaburan perdagangan dan hubungan diplomatik, namun menerima hakikat bahawa kami adalah sebuah negara yang merdeka.
“Dan ASEAN, contohnya, ASEAN centrality menganggap hubungan dengan negara jiran kita sangat penting, oleh itu, kami juga memperkukuhkan hubungan dengan China,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sidang media bersama Shehbaz selepas pertemuan berkenaan.
Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari di Pakistan tiba di Islamad malam tadi, dan disambut oleh Shehbaz sendiri di Pangkalan Udara Nur Khan, Rawalpindi.
Beliau diberi sambutan rasmi di Kediaman Perdana Menteri Pakistan, pagi ini, disusuli dengan mesyuarat dua hala, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan pelancaran tiga karya terjemahan oleh penyair terkemuka Pakistan Allama Muhammad Iqbal, yang diterjemahkan daripada bahasa Parsi, Urdu dan Inggeris ke bahasa Melayu.
Dalam perkembangan lain, Aswar berkata, mereka juga senada mengutuk tindakan Israel di Gaza dan Lubnan.
“Masalah ini sudah tentu menjadi lebih genting sekarang dengan peluasan dan lanjutan pencerobohan perang ke Lubnan serta pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza dan Tebing Barat. Kita telah melihat bahawa isu ini bukan perang antara dua negara.
“Ia sepenuhnya satu keangkuhan dan pencerobohan yang mengabaikan semua peraturan asas peraturan antarabangsa serta penderitaan rakyat Palestin selama tujuh dekad, yang dilucutkan hak mereka dan dinafikan hak asasi.
“Dan kita telah melihat bukan sahaja ketidakselarasan, tetapi juga hipokrasi dalam kalangan banyak negara yang kononnya bercakap mengenai hak asasi manusia dan kebebasan, serta mengkritik dunia mengenai hak asasi manusia dan kebebasan, namun jelas sekali sangat memilih dalam membuat keputusan,” katanya.