BENTONG: Syarikat pengendali bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengakibatkan dua maut di Jalan Genting Highlands Jun lepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan.


Ringkasan AI
  • Syarikat pengendali bas persiaran M Kumar Trans Tour Sdn Bhd dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan berkaitan kemalangan maut di Jalan Genting Highlands pada Jun.
  • Pertuduhan termasuk gagal melindungi keselamatan penumpang dengan membenarkan pemandu tanpa lesen memandu dan beroperasi dengan lesen tamat tempoh.
  • Mahkamah membenarkan syarikat itu diikat jamin RM6,000 dan menetapkan 27 September untuk sebutan semula kes.


Pengarah, M Kumar, 50, yang mewakili syarikat M Kumar Trans Tour Sdn Bhd mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar.

Bagi pertuduhan pertama, syarikat berkenaan yang merupakan pemilik bas persiaran telah melakukan kesalahan gagal melindungi keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain apabila membenarkan pemandu, S Anand Kumar, 32, memandu kenderaan syarikat tanpa lesen sehingga mengakibatkan kematian dua penumpang di KM16.5 Jalan Genting Highlands (hala turun), Bentong pada jam 10.20 pagi, 29 Jun.

Syarikat terbabit juga pada masa dan lokasi sama turut didakwa atas kesalahan beroperasi semasa lesen bas persiaran telah tamat tempoh pada 16 Februari 2024 yang bertentangan dengan syarat am lesen bas persiaran.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 41 (1)(b)(ii) dan Seksyen 41 (1)(b)(iii) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 41 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya, dan kenderaan yang berkaitan hendaklah dibuat pelucuthakan oleh mahkamah.

Mahkamah membenarkan syarikat itu diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Sept untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mohd Nasrul Fazimi Mat Nasir, manakala syarikat bas itu diwakili peguam, P Taneswaran.

Pada 3 Julai lepas, Anand Kumar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Raub atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya dan tiada lesen memandu sehingga menyebabkan kematian dua pelancong China.

Dalam insiden itu, dua lelaki warga China maut manakala 19 penumpang lagi terselamat selepas bas persiaran dinaiki dipercayai terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan di KM16.5 Jalan Turun Genting Highlands.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada Julai lepas membatalkan lesen pengendali syarikat bas persiaran termasuk permit kenderaan syarikat M Kumar Trans Tour Sdn Bhd yang dibuat Jawatankuasa Pembatalan dan Penggantungan Lesen (JPPL). -Sinar Harian