KUANTAN: Polis mengesan satu laporan palsu dibuat seorang tukang kebun yang mendakwa dirinya disamun oleh tiga lelaki di Genting Highlands, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata lelaki warga tempatan berusia 26 tahun itu membuat laporan kira-kira 11 malam.

Beliau berkata suspek membuat laporan palsu mendakwa telah disamun oleh tiga lelaki menggunakan sebilah pisau hingga menyebabkannya mengalami kerugian RM20,400.

"Hasil siasatan dan pemeriksaan di tempat kejadian serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa sebenarnya telah berjumpa dengan sorang lelaki dan menjual sebentuk cincin emas, sebuah telefon bimbit serta seutas rantai leher untuk berjudi.

"Susulan kejadian tersebut, polis telah membuat laporan terhadap lelaki berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Zaiham memberi amaran kepada orang awam supaya tidak membuat laporan palsu dan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mereka yang terlibat.

-- BERNAMA