Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian pada jam 4.10 petang, pihaknya menerima maklumat berkaitan insiden pergaduhan di kediaman berkenaan.
"Kita telah ke pergi lokasi dan berjumpa dengan seorang wanita warga Filipina memaklumkan telah bergaduh dengan teman lelakinya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Azam berkata, wanita tersebut memaklumkan kepada pihak polis teman lelakinya memiliki sepucuk pistol dan menyerahkan sebungkus plastik biru.
"Pemeriksaan lanjut di dalam plastik tersebut mendapati mengandungi sepucuk pistol bersama 30 butir peluru bersaiz sembilan milimeter (mm)," katanya.
Menurutnya, punca pergaduhan kerana wanita warga asing itu cemburu dengan teman lelakinya menjalinkan hubungan dengan seorang wanita lain.
"Motif pemilikan senjata oleh suspek lelaki yang juga peniaga masih lagi dalam siasatan," katanya.
Beliau berkata, pasangan kekasih berusia 34 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.
"Suspek lelaki ditahan reman selama empat hari bermula Isnin sehingga Rabu, manakala teman wanitanya telah diberi jaminan polis pada Ahad.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960," ujarnya. - Sinar Harian