Ketua Unit Penyelidikan dan Pembangunan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Safri Muhammad Zein berkata, ia membolehkan masyarakat membebaskan jiwa mereka daripada unsur kemungkaran dan mendekatkan diri kepada keadilan Islam.
“Melalui pembentukan sahsiah diri dan menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai suri teladan, kita dapat memaknai serta merasakan erti kemerdekaan itu sendiri melalui konteks ayat-ayat al-Quran yang indah.
“Kita juga memetik surah al-Hujurat, yang menceritakan apa cabaran bagi manusia khususnya saat ini dalam menghadapi jiwa merdeka itu sendiri.
“Antara cabarannya, bagaimana cara kita untuk menjaga tutur kata, bila dapat berita kita kena tabayyun iaitu mencari penjelasan, (cara tangani) perasaan selalu menghina, mencaci salah orang dan mementingkan diri sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Program Malaysia #QuranHour 2024 akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 10 hingga 11 pagi.
Slot tersebut akan bersiaran secara langsung melibatkan wakil media antaranya ialah Sinar Harian, Astro Oasis, TV9, Bernama, TV Alhijrah, Zayan, Astro Awani, Nu Ideaktiv, IKIM FM, Denaihati.com dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar utama Malaysia #QuranHour.
Dalam pada itu, ujar Safri, sebagai barisan pendidik WUIF, pihaknya turut mendepani cabaran dalam mengangkat kajian surah al-Quran yang sesuai dengan keperluan isu-isu semasa umat Islam ketika ini.
Menurutnya, apa yang penting, kandungan ayat al-Quran tersebut dapat dijadikan sebagai panduan dan diaplikasikan dalam kehidupan masyarakat.
“Cabarannya ialah banyak isu yang kita kena kait dan hadam betul-betul.
“Kemudian, apa-apa mesej yang ALLAH ingin sampaikan kepada kita sehingga ayat-ayat al-Quran itu benar-benar menjadi penyelesaian atau panduan kepada umat manusia.
“Panduan itu bertujuan membebaskan diri mereka daripada perhambaan terhadap makhluk ALLAH sehingga seseorang itu meninggalkan ALLAH dan tidak mencari tuhan lain untuk disembah,” ujarnya. - Sinar Harian