AMPANG JAYA: Gara-gara enggan membaca al-Quran seperti yang ditunjuk ajar, seorang kanak-kanak lelaki warga Afika berusia 12 tahun dipukul guru agama dengan menggunakan rotan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dalam kejadian di Ampang, di sini pada minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa yang menyedari terdapat kesan luka di belakang badan anaknya selepas pulang dari kelas mengaji.

"Dalam laporan itu, pengadu mengatakan mangsa baru sahaja dihantar ke kelas itu.

"Berdasarkan laporan itu, kita menahan suspek yang juga warga Afrika berusia 37 tahun kira-kira pukul 5.45 petang, di Jalan Permai Taman Dato Ahmad Razali Isnin lalu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Mohd Azam memberitahu, semakan mendapati suspek tiada rekod lampau dan ujian saringan air kencing juga adalah negatif.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman tujuh hari sehingga Isnin.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.