KEPALA BATAS: Persatuan Madrasah Tahfiz al-Quran Malaysia (Permata al-Quran) menyeru agar kerajaan mewujudkan Institut Pendidikan Guru Tahfiz Malaysia bagi melahirkan guru terlatih dan menyediakan kaedah pengajaran standard untuk sekolah tahfiz.

Presiden Permata al-Quran, Manolito Mohd Dahlan berkata, institut itu selain dapat mengajar guru tahfiz ia juga boleh berperanan sebagai hab pendidikan tahfiz di peringkat antarabangsa.

"Pada Julai lepas saya ada membuat pembentangan dalam Jawatankuasa Pelarasan Pendidikan dan Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) di Sarawak dan saya maklumkan untuk melahirkan huffaz profesional perlu ada guru terlatih mengajar mereka.

"Guru terlatih perlu dilahirkan di Institut Pendidikan Guru Tahfiz Malaysia supaya dapat menghasilkan pelajar yang mahir dan profesional, malah sekarang tahfiz diangkat sebagai pendidikan arus perdana oleh pihak kerajaan dan menjadi sistem yang cemerlang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Huffaz Nusantara kali kesembilan di Dewan Millenium, di sini, pada Ahad.

Majlis perasmian dan penyampaian sijil itu disampaikan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid dengan seramai 872 pelajar maahad tahfiz menerima sijil pada majlis berkenaan.

Manolito berkata, isu dihadapi masa kini ialah tiada piawaian terhadap kualiti guru yang mengajar di sekolah tahfiz dan pihaknya berharap guru sekolah tahfiz diberi latihan secukupnya berbanding mengajar secara 'asal boleh' berdasarkan pengalaman semata-mata.

Sementara itu, Naib Presiden Permata al-Quran, Mohamad Hafiz Mohamad Hanifah berkata, walaupun pihaknya menganjurkan kursus jangka pendek, namun tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan guru tahfiz.

"Perlu ada sebuah institusi khusus untuk memberikan latihan serta pendidikan khusus kepada tenaga pengajar. Meskipun guru tahfiz ada yang lulusan luar negara, namun kebanyakan mereka berasal dari tahfiz yang sama dan kembali menjadi tenaga pengajar di situ.

"Kami pernah panjangkan perkara ini ke peringkat Kementerian Pendidikan dan kami berharap ia dapat dilaksanakan memandangkan sasaran kerajaan untuk melahirkan 125,000 huffaz profesional pada 2030," katanya. - BERNAMA