SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima serahan zakat perniagaan untuk Lembaga Zakat Selangor (LZS) daripada syarikat Pintas Utama Sdn Bhd sebanyak RM3 juta.

Sultan Sharafuddin berkenan menerima penyerahan zakat bagi tahun kewangan 2024 daripada Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri  Zainudin Karjan dalam upacara yang berlangsung di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, pada Sabtu.

Zainudin berkata, sumbangan zakat itu adalah bagi membantu asnaf dan golongan yang memerlukan, selaras dengan agenda pembangunan ummah.

“Seperti yang kita semua maklum, zakat merupakan rukun Islam keempat dan telah difardhukan kepada umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, Pintas Utama akan terus menjalankan inisiatif atas keprihatinan bagi menyumbang semula kepada pembangunan sosioekonomi, khususnya di Selangor.

Selain Pintas Utama, syarikat yang turut menyerahkan zakat perniagaan itu ialah Rafulin Holdings Sdn Bhd (RM2.15 juta), Sime Darby Property Berhad (RM2 juta), MAHSA Universiti (RM1.32 juta), KDEB Waste Management Sdn Bhd (RM1.17 juta), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (RM1 juta), dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (RM1 juta).

Upacara penyerahan tersebut diadakan sempena Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri.

Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin turut menunaikan solat fardu Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah.