SINGAPURA: Penyambungan semula serangan ke atas Gaza yang menyebabkan peningkatan jumlah kematian orang awam tidak bersalah adalah tidak boleh diterima dan lebih dikesali ia berlaku pada Ramadan yang suci, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura, Masagos Zulkifli.

Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga menggesa agar semua pihak untuk bersatu dalam memberikan sokongan kepada mereka yang terjejas dengan menyokong usaha kemanusiaan rasmi, ketika krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing.

Beliau berkata memandangkan konflik terbaharu itu telah berlarutan selama lebih setahun, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) secara berterusan mengumpul dana untuk usaha bantuan di Gaza.

"Para pegawai yang berada di lapangan memaklumkan kepada saya bahawa rakyat Palestin amat menghargai bantuan berterusan dari Singapura," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, Masagos turut menyeru semua pihak untuk bersatu dalam doa.

"Sedang kita berada dalam 10 malam terakhir Ramadan ini, selain mencari keberkatan lailatulqadar, marilah kita sama-sama memanjatkan doa untuk mereka yang menderita, termasuk di Gaza.

"Semoga damai hadir segera dan para mangsa dilindungi dan diberikan kekuatan serta ketabahan untuk mengharungi cabaran konflik yang berlarutan ini," katanya.

Singapura pada Rabu menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap penyambungan semula serangan di Gaza dan menyeru semua pihak kembali ke meja rundingan bagi mencapai gencatan senjata berkekalan.

Menurut laporan, lebih 700 rakyat Palestin terbunuh dan 900 lagi cedera sejak Selasa berikutan serangan terbaru Israel ke atas Gaza, menandakan berakhirnya gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 19 Januari.

-- BERNAMA