BANDARAYA GAZA: Lebih 700 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza sejak Selasa, kata Kementerian Kesihatan wilayah itu pada Khamis.

"Mayat 710 orang telah dibawa ke hospital sejak Selasa, selain lebih 900 yang lain cedera," kata jurucakap kementerian, Khalil Al-Dakran kepada Anadolu Ajansi.

Beliau berkata 70 peratus daripada mereka yang cedera dalam serangan itu adalah kanak-kanak dan wanita.

"Ramai daripada mereka cedera meninggal dunia akibat kekurangan rawatan perubatan segera di tengah-tengah sekatan Israel ke atas Gaza, yang menyebabkan kekurangan peralatan penting dan ubat-ubatan yang teruk," tambahnya.

Tentera Israel melancarkan serangan udara mengejut ke atas Semenanjung Gaza pada Selasa, menghancurkan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan yang berkuat kuasa pada Januari.

Hampir 50,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala lebih 112,000 yang lain cedera dalam kempen ketenteraan Israel yang kejam di Gaza sejak Oktober 2023.

-- BERNAMA