KUALA LUMPUR: Sultan Selangor menzahirkan harapan agar semua pihak berhenti bertelagah, khususnya dalam kalangan pemimpin, komuniti perniagaan, dan penjawat awam yang tamakkan kuasa dan kemewahan.


Ringkasan AI
  • Sultan Selangor berharap semua pihak berhenti bertelagah, terutama pemimpin, komuniti perniagaan, dan penjawat awam yang tamakkan kuasa dan kemewahan.
  • Baginda menasihatkan rakyat bijak menilai dan tidak mempercayai fitnah serta cubaan membunuh karakter yang semakin berleluasa.
  • Baginda menyeru rakyat membanteras rasuah di semua peringkat dan mengutamakan integriti dalam kehidupan harian untuk memastikan kemajuan negara.


Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, ia menjadi punca kepada timbulnya fitnah dan adu domba serta penyebaran maklumat palsu terutama di media sosial.

Baginda turut khuatir dengan pelbagai cubaan membunuh karakter yang semakin berleluasa dengan niat memberi persepsi negatif terhadap individu tertentu.

“Lazimnya, 'character assassination' ini hanya berlaku di musim pilihan raya. Namun kini, Beta dapati ia digunakan untuk memusnahkan kepercayaan dan seterusnya menjatuhkan individu tertentu,” titah baginda sempena Perutusan Tahun Baharu 2025.


Henti bertelagah, jauhi rasuah perosak negara - Sultan Selangor

Rentetan itu, baginda menasihatkan rakyat agar bijak menilai dan sebelum mempercayai fitnah yang terhasil daripada cubaan membunuh karakter ini.

Dalam masa sama, baginda turut menyeru rakyat terus bersama-sama membanteras rasuah kerana gejala itu boleh meruntuhkan sesebuah tamadun.

“Di tahun baharu ini juga, Beta mahu rakyat sama-sama berazam membanteras gejala rasuah di semua peringkat dengan meningkatkan penguatkuasaan.

“Paling penting, mengutamakan integriti dalam nilai-nilai kehidupan harian.

"Ingatlah, bahawa sebuah tamadun boleh runtuh hanya disebabkan oleh rasuah yang berleluasa dan tidak terkawal,” titahnya.

Sultan Sharafuddin yakin, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju pada 2025 jika semua pihak bersatu hati dengan tidak lagi bertelagah kerana sikap sedemikian hanya merugikan rakyat.