Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa mengunjungi tapak pameran serta menyantuni para peserta dan pempamer selepas menyempurnakan perasmian.
Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Ismail Bakar dalam ucapannya menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim kerana penyempurnaan oleh baginda meningkatkan kepentingan MIH Megatrends 2024 di peringkat global.
“KPJ Healthcare juga teruja untuk memperkenalkan sistem kesihatan akademik kami pada hari ini. Inisiatif ini mengintegrasikan kecemerlangan klinikal, pendidikan dan penyelidikan selaras dengan agenda kesihatan nasional.
“Ini menandakan langkah penting dalam meningkatkan penjagaan pesakit dan perkhidmatan kesihatan kami ke tahap bertaraf dunia,” katanya.
Beliau menganggap kerjasama KPJ Healthcare dengan beberapa pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendorong transformasi sektor kesihatan ke arah lebih efektif.
“Jadi segala jalinan ini akan mengukuh MIH Megatrends 2024 menjadi platform pertukaran idea selain berfungsi sebagai pemangkin untuk memberikan manfaat yang lebih berkesan kepada semua rakyat Malaysia,” ujarnya.
MIH Megatrends 2024 anjuran Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama KPJ Healthcare merupakan platform bagi pemain industri penjagaan kesihatan global, profesional dan pembuat dasar membincangkan kemajuan teknologi terkini.