Tinjauan Astro AWANI mendapati sudah ramai yang tiba bagi menunggu untuk menunaikan solat jenazah yang dijangka akan dilakukan selepas solat Asar.
Difahamkan, van yang membawa jenazah Allahyarham Nidza Afham ke Tanah Perkuburan Islam Bandar Puncak Alam sudah dalam perjalanan dari Hospital Shah Alam (HSA).
Proses bedah siasat ke atas jenazah telah selesai dilakukan dan Allahyarham dimandikan serta dikafankan di Unit Perubatan Jabatan Forensik HSA.
Laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian kes Nidza Afham Mokhtar yang ditemukan di Sungai Klang pada petang Rabu dijangka diperoleh petang ini.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan bedah siasat itu akan menentukan sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya.
Nidza Afham yang juga abang kepada penyanyi, Aufahanie, dilaporkan hilang 7.45 petang pada Selasa selepas keluar berjoging di Stadium Klang, Selangor, kira-kira jam 11.53 malam sebelumnya.
Dompet dan telefon bimbit milik Nidza Afham ditemui di Jambatan Sungai Klang.