Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan pihaknya tidak menemui sebarang unsur jenayah mengenai kes terbabit.
"Siasatan diklasifikasi mengikut SDR. Kertas siasatan itu akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat.
"Kes berkenaan kini hampir selesai dan tiada unsur jenayah," katanya kepada pemberita selepas program Selangor Police Integrity Half Marathon 2024 di Stadium Sultan Suleiman di sini pada Ahad.
Mengulas mengenai program itu, kata Hussein, program terbabit merupakan satu inisiatif strategik yang bertujuan menyemai nilai murni seperti kejujuran, ketelusan dan etika dalam kalangan anggota polis serta masyarakat.
Katanya, melalui program ini polis dan masyarakat dapat memupuk perpaduan selain membina kepercayaan serta menekankan ketelusan dan akauntabiliti.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan siasatan kes kematian Nidza Afham diklasifikasi sebagai SDR selepas bedah siasat dijalankan di Hospital Shah Alam.
Hasil bedah siasat dijalankan mendapati punca kematian 'pending laboratory investigation' dan tiada lain-lain kecederaan fizikal.
Sebelum ini, penyanyi terbabit dilapor hilang selepas keluar joging di Stadium Klang, pada 13 Ogos lalu.
Susulan itu, dompet dan telefon bimbit Nidza Afham ditemui di Jambatan Sungai Klang, Klang.
Jasad Nidza Afham kemudiannya ditemukan berhampiran Jalan Tepi Sungai, Solok Sungai, Taman Telok Pulai Indah, kira-kira jam 7 malam, 14 Ogos.
Nidza Afham pernah menyertai rancangan realiti I Can See Your Voice 3, sebelum melancarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku. - Sinar Harian