KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ejen di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan selepas dipercayai menerima rasuah untuk mendapatkan nombor giliran bagi mempercepat proses pemeriksaan tanpa mengikut peraturan sah.

Menurut sumber perintah reman selama lima hari dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin terhadap seorang lelaki berumur lingkungan 60-an itu selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

"Suspek dipercayai telah menerima rasuah kira-kira RM40,000 daripada pemilik-pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan nombor giliran bagi proses pemeriksaan kenderaan di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan.

"Tangkapan suspek ini adalah berdasarkan operasi dijalankan SPRM dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) membabitkan siasatan terhadap beberapa individu dipercayai terlibat dalam sindiket ini," katanya.

Menurut sumber itu, maklumat daripada Bahagian Penguatkuasa JPJ mendapati terdapat beberapa individu menyalahgunakan sistem tempahan pemeriksaan Puspakom dengan membuat tempahan secara pukal menggunakan nombor kenderaan secara rawak.

Individu terbabit katanya akan menawarkan tarikh-tarikh tempahan yang telah dibuat kepada pelanggan dengan bayaran ratusan ringgit bagi setiap slot pemeriksaan sebelum membuat penjadualan semula tarikh bagi membolehkan permohonan baru dibuat ke dalam sistem

"Modus operandi ini menyebabkan pelanggan biasa tidak dapat membuat tempahan slot pemeriksaan dalam masa terdekat berikutan slot telah ditempah sepenuhnya oleh ejen berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata beberapa lagi ejen yang menjalankan kegiatan sama sedang dikesan dan tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat.

-- BERNAMA