KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam direman enam hari sehingga 23 Mac ini selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2,500 sebagai balasan membantu menyelesaikan kompaun ubah suai rumah.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Syed Farid Syed Ali selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan di Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 30-an ditahan jam 2 petang Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.

"Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada Jun 2024 sebagai dorongan untuk membantu seorang pemilik rumah menyelesaikan kompaun kerana ubah suai rumah tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Suspek disyaki menerima rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadinya," katanya.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.