PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, pada pukul 4.30 petang selepas memberi keterangan lebih enam jam pada Isnin.

Kereta jenis Vellfire berwarna hitam membawa Ismail Sabri dilihat keluar tanpa beliau membuka tingkap untuk melambai pengamal media seperti kebiasaan.

Sumber daripada SPRM mengesahkan Ismail Sabri berada di dalam kenderaan terbabit dan sudah meninggalkan bangunan ibu pejabat berkenaan.

Ismail Sabri dijangka akan menyambung memberi keterangan pada pukul 10 pagi Selasa.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bera itu tiba pada pukul 9.52 pagi untuk hari ketiga merakam keterangan berhubung  siasatan melibatkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Pada minggu lalu, Ismail Sabri hadir memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM selama lima jam pada Khamis dan hampir enam jam pada Jumaat.

Siasatan SPRM ke atas Ismail Sabri dilancarkan susulan penemuan wang tunai dalam pelbagai mata wang dan jongkong emas yang secara keseluruhan berjumlah kira-kira RM177 juta.

Pendedahan itu dibuat menerusi siri serbuan membabitkan tiga premis, termasuk sebuah 'safe house' di sekitar ibu negara yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes.

Semua hasil rampasan turut dikaitkan dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti program sewaktu Ismail Sabri mentadbir kerajaan dari 2021 hingga 2022.

SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun bank bagi membantu siasatan kes.

Untuk rekod, pada 10 Februari lepas, Ismail Sabri sudah menghantar dokumen pengisytiharan harta sebelum keterangannya kali pertama direkod SPRM pada 19 Feb.

Kemudian, Ismail Sabri dijadualkan hadir pada 5 Mac untuk menyambung memberikan keterangan, namun ditangguh ekoran mengalami masalah kesihatan dan seterusnya diberikan sijil cuti sakit.

Beliau hadir merakam percakapan selepas tempoh cuti sakit tamat pada 12 Mac lepas.