Bekas Perdana Menteri itu sempat membuka tingkap kereta dan menyapa kumpulan wartawan yang 'berkampung' di luar Ibu Pejabat SPRM.
“Cuti, cuti,” ujar beliau ringkas apabila ditanya pengamal media sekiranya sesi merakam keterangan akan disambung esok.
Menurut sumber, beliau dijangka dipanggil semula untuk merakam percakapan di Ibu Pejabat SPRM minggu hadapan pada hari dan waktu yang belum ditetapkan.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bera itu tiba dengan menaiki kereta jenis Vellfire berwarna hitam pada pukul 9.54 pagi untuk hari kelima memberikan keterangan berhubung dakwaan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Manakala pada Rabu, Ismail Sabri dirakam percakapan lebih enam jam iaitu dari pukul 9.57 pagi hingga 4.35 petang.
Difahamkan, antara tumpuan siasatan adalah kepada beberapa dokumen penting iaitu kelulusan projek dan perolehan sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dari 2021 hingga 2022.
Keterangan Ismail Sabri kali pertama dirakamkan pada 19 Februari lalu berkaitan pengisytiharan aset.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, seorang pengurup wang ditahan berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram kes Ismail Sabri, semalam.
Menurutnya, suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan, namun dilepaskan selepas mengadu sakit jantung.
Suspek kemudian dirujuk kepada doktor dan disahkan mengalami masalah jantung tersumbat sebelum dilepaskan bagi menerima rawatan lanjut.
Selain itu, proses merakam keterangan Ismail Sabri dijangka mengambil beberapa sesi lagi sebelum boleh diselesaikan.
Manakala bagi kemungkinan pendakwaan ke atas Ismail Sabri, masih ada beberapa individu lain yang perlu dipanggil untuk dirakam keterangan.
Untuk rekod, siasatan SPRM ke atas Ismail Sabri dilancarkan susulan penemuan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing serta jongkong emas yang secara keseluruhan berjumlah RM177 juta.
Pendedahan itu dibuat menerusi siri serbuan membabitkan tiga premis, termasuk sebuah 'safe house' di sekitar ibu negara milik bekas pegawai kanan Ismail Sabri.
Semua hasil rampasan turut dikaitkan dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta program publisiti sewaktu Ismail Sabri memegang tampuk kepimpinan kerajaan.
SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun bank bagi membantu siasatan kes.
