Ringkasan AI
- Seorang ejen pusat pemeriksaan kenderaan ditahan reman oleh SPRM kerana dipercayai menerima rasuah untuk mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan.
- Suspek dipercayai menerima kira-kira RM40,000 daripada pemilik kenderaan yang mahu mendapatkan nombor giliran lebih awal.
- SPRM dan JPJ sedang menyiasat sindiket yang mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan secara tidak sah, dengan kemungkinan tangkapan susulan dalam masa terdekat.
Menurut sumber, suspek yang bekerja sebagai ejen di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan dipercayai menerima wang sogokan untuk mendapatkan nombor giliran bagi mempercepatkan proses pemeriksaan.
"Suspek dipercayai telah menerima kira-kira RM40,000 daripada pemilik-pemilik kenderaan yang mahu mendapatkan nombor giliran lebih awal di pusat pemeriksaan tersebut," katanya pada Jumaat.
Tangkapan terhadap suspek dilakukan dalam operasi khas SPRM dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
"Ia membabitkan siasatan terhadap beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket ejen yang mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan secara tidak sah," katanya lagi.
Sumber turut mendedahkan bahawa maklumat daripada Bahagian Penguatkuasa JPJ menunjukkan terdapat individu menyalahgunakan sistem tempahan Puspakom dengan membuat tempahan pukal menggunakan nombor kenderaan secara rawak.
"Mereka kemudian menjual slot pemeriksaan kepada pelanggan dengan bayaran ratusan ringgit bagi setiap slot sebelum membatalkan dan menjadualkan semula tarikh tempahan, sekali gus membolehkan tempahan baharu dibuat dalam sistem," jelasnya.
Modus operandi ini menyebabkan pelanggan biasa sukar mendapatkan slot pemeriksaan dalam masa terdekat, kerana kebanyakan slot telah ditempah lebih awal oleh sindiket.
Sinar Harian difahamkan bahawa suspek berusia 60-an itu telah direman selama lima hari hingga Selasa selepas perintah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Jumaat.
Selain itu, beberapa lagi ejen yang dipercayai menjalankan kegiatan sama sedang dikesan dan SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan dalam masa terdekat. -Sinar Harian
