Suspek direman empat hari sehingga 25 Mac selepas Penolong Kanan Pendaftar, Assayidatun Najwa Muhammad Nasution membenarkan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu.
“Tangkapan adalah susulan operasi dijalankan SPRM dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) pada Jumaat.
“Ia membabitkan siasatan terhadap beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket ejen mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan secara tidak sah,” kata sumber.
Suspek ditahan kira-kira jam 4 petang Jumaat ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Sumber turut mendedahkan, Bahagian Penguatkuasa JPJ mendapati beberapa individu menyalahguna sistem tempahan pemeriksaan PUSPAKOM, dengan membuat tempahan secara pukal menggunakan nombor kenderaan rawak.
“Modus operandi sindiket adalah menawarkan tarikh tempahan awal kepada pelanggan dengan bayaran ratusan ringgit bagi setiap slot pemeriksaan.
Selepas menerima bayaran, mereka akan menjadualkan semula tarikh pemeriksaan bagi membolehkan permohonan baharu dibuat dalam sistem,” ujarnya.
Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
