KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai agensi penguat kuasa yang disyaki meminta rasuah sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pekerja warga asing di Sri Aman, Sarawak, semalam.

Sumber SPRM memaklumkan kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan antara pukul 7 dan 8.30 malam di sebuah restoran makanan segera selepas dipercayai meminta rasuah kira-kira RM10,000 daripada seorang pemilik syarikat.

Mereka dipercayai meminta wang itu sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap beberapa pekerja warga asing di syarikat berkenaan yang disyaki tidak mempunyai permit bekerja yang sah.

"Perintah reman sehingga 10 Sept ini terhadap kedua-dua suspek lelaki itu telah dikeluarkan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuching, pagi tadi," katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Sarawak Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kedua-dua suspek berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA