KRISIS kemanusian yang mencengkam di Palestin kini sangat membimbangkan. Ketika masyarakat global masih menyinsing lengan dalam memastikan akses terhadap vaksin untuk melawan pandemik, rakyat Palestin terpaksa bertarung nyawa sehari-hari akibat konflik yang tidak berkesudahan.

Catatan sejarah menunjukkan kota Baitulmaqdis serta wilayah-wilayah di mana letaknya Palestin dan Israel pada hari ini telah didiami selama beribu-ribu tahun oleh masyarakat Yahudi, Kristian Arab dan Armenia. Namun sejak konfik pada tahun 1948 sehingga kini, jalan buntu perdamaian hanya menyebabkan lebih banyak nyawa wanita, kanak-kanak dan belia yang terkorban.

Solidariti belia Malaysia pada hari ini adalah atas dasar kemanusiaan yang dijunjung tinggi oleh Malaysia dan Palestin. Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai pemegang taruh belia-belia ingin menyeru agar rakyat Malaysia merentasi sempadan kaum dan agama agar cakna dengan isu global yang berlaku kini.

Berbekalkan tema belia bertindak demi kebenaran dan keadilan yang dipayungi oleh semua belia, belia Malaysia menentang sebarang bentuk kezaliman dan memohon agar pihak berwajib seperti United Nations (UN) segera campur tangan bagi mengatasi konflik ini. Perjuangan menentang kezaliman zionis di Palestin turut didokong aktivis dan masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan termasuk daripada kumpulan Yahudi yang simpati kepada perjuangan rakyat Palestin.

Jika konflik Palestin – Israel dapat dihentikan untuk jangka masa panjang maka 2/3 dunia akan menikmati keamanan sejagat termasuk Malaysia.

Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang juga rakan sinergi MBM telahpun melancarkan kempen #MyAqsaDefender bagi tujuan untuk mengumpul dana kilat kewangan untuk pembangunan ekonomi dan pendidikan dengan sasaran 10 juta.

MBM juga menyeru belia Malaysia agar menyumbang untuk menghentikan keganasan dan membela nasib kemanusiaan dengan kapasiti dan lokaliti masing-masing seperti berdoa, menderma, perkongsiaan maklumat, aktivisme dalam talian termasuk menggunakan TikTok.

Setiap agama dan kepercayaan menyuburkan budaya berkasih sayang dan saling berbuat adil antara satu sama lain. Semoga dengan referendum belia Malaysia merentasi kaum dan agama ini menjadi mesej jelas dalam terus bersolidariti demi keamanan sejagat.

Didokong oleh:

1) Jufitri Joha
Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM)

2) Ahmad Farid Sainuri
Presiden
Majlis Belia Sabah (MBS)

3) Abang Abdul Aziz Abang Draup
Naib Presiden
Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS)

4) Alex Ng
Pengerusi
8 Pertubuhan Belia Cina (EMCO)

5) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid
Koordinator
Kaukus Badan Beruniform MBM

6) Clive Allen Williams Hunt
Presiden
Majlis Belia Orang Asli Malaysia (MBOAM)

7) Datuk Syed Osman Mohamed
Koordinator
United Malaysia Indian Youth (UMIY)

8) Mohd Faiz Shuhaimi
Presiden (Penaja)
Majlis Belia OKU Malaysia (MBOKU)

9) Muhammad Fadzli Hasan
Presiden
Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM)