Kenyataan yang dikeluarkan Australia, Kanada, Kesatuan Eropah (EU), Korea Selatan, New Zealand, Norway, Switzerland, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) itu menekankan kesan buruk rampasan kuasa yang telah menyebabkan Myanmar terjerumus dalam salah satu krisis "terbesar" di rantau Asia-Pasifik.
"Sejak rampasan kuasa, rakyat Myanmar terus tertakluk kepada pemerintahan tentera yang telah merampas banyak hak mereka, aspirasi demokratik serta, bagi ribuan orang, kebebasan dan nyawa mereka," menurut kenyataan itu.
Gabungan itu menuntut supaya keganasan segera dihentikan, mendesak rejim tentera supaya meredakan konflik, memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan serta mengutamakan perlindungan terhadap orang awam.
Ia turut menggesa pembebasan semua tahanan politik serta dialog yang "tulen dan inklusif" dengan semua pihak berkepentingan.
Kenyataan itu turut menekankan keperluan untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab atas kekejaman dikenakan tindakan serta menegaskan kepentingan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
Gabungan itu juga menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan jenayah rentas negara, termasuk pengeluaran narkotik, pemerdagangan manusia dan penipuan dalam talian yang bukan sahaja menjejaskan rakyat Myanmar tetapi turut mengganggu kestabilan rantau ini.
"Haluan semasa tidak mampan untuk Myanmar mahupun rantau ini," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu mengalu-alukan kerjasama antara wakil khas ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta menggesa masyarakat antarabangsa terus menyokong usaha menangani krisis dan isu pelarian yang timbul akibat situasi tersebut.
Ia turut menggesa masyarakat antarabangsa menyokong pelaksanaan Resolusi 2669 Majlis Keselamatan PBB yang menuntut supaya semua bentuk keganasan di Myanmar dihentikan serta menegaskan sokongan terhadap Konsensus Lima Perkara ASEAN yang antara lain bertujuan membina kepercayaan bagi mewujudkan dialog antara semua pihak berkepentingan untuk menamatkan keganasan dan mengurangkan penderitaan rakyat Myanmar.
-- BERNAMA