MOSCOW: Sekurang-kurangnya 32 orang, termasuk seorang askar, terbunuh dan 63 lagi cedera dalam serangan bom berani mati di Pantai Lido Mogadishu, Somalia, lapor Sputnik.

Insiden itu dilaporkan oleh Televisyen Nasional Somalia (SNTV) pada Sabtu, memetik sumber polis.

Pada Jumaat, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di Pantai Lido yang popular berhampiran sebuah hotel di ibu kota Somalia, Mogadishu, mengorbankan puluhan nyawa.

Sebelum ini, media melaporkan 20 kematian dan menambah bahawa kumpulan radikal Islam Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Agensi Berita Nasional Somalia berkata pasukan keselamatan Somalia telah meneutralkan lima militan yang terlibat dalam serangan itu.

Al-Shabaab adalah kumpulan pejuang yang berpusat di Somalia dan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas al-Qaeda. Ia melancarkan penentangan bersenjata terhadap Kerajaan Somalia dan menghalang misi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di negara itu.

Somalia runtuh sebagai sebuah negara bersatu pada tahun 1991 dengan kejatuhan pemerintahan diktator Mohamed Siad Barre.

Komuniti antarabangsa mengiktiraf Kerajaan Persekutuan yang berpusat di Mogadishu sebagai satu-satunya pihak berkuasa yang sah di Somalia, manakala sebahagian besar kawasan di utara dan timur negara itu masih di bawah kawalan Somaliland dan Puntland yang diisytiharkan sendiri dan tidak diiktiraf.

--BERNAMA-SPUTNIK