Kebenaran untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid dan surau tetap menitik beratkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan seperti yang dikeluarkan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS).

Menurut pengerusi Surau Pengiran Haji Jaya, Kuching, Mohamed Pauzan Nuruddin memberitahu kehadiran jemaah di surau tersebut dipantau dan tidak boleh melebihi 20 orang.

“Selain daripada itu, sekiranya terdapat lebih ramai jemaah hadir dan mereka tidak sempat untuk ke surau lain, maka kami akan galakkan mereka bersolat di ruang legar di luar surau yang luas,” katanya.

Jelasnya, persediaan secara harian diambil demi keselamatan mereka yang hadir menunaikan kewajipan.
Ini termasuk proses nyahkuman yang dilakukan tiga kali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada March lalu.

Ujarnya, bagi melaksanakan ibadah, para jemaah turut disaran membawa sejadah masing-masing bagi mengurangkan risiko jangkitan virus COVID-19.

“Kami tetap menyediakan sejadah, namun jemaah digalakkan membawa sejadah sendiri. Kami di sini juga ada menyediakan bahan pencuci seperti sabun dan sebagainya dalam memastikan kebersihan surau berada pada tahap terbaik,” katanya ketika ditemu bual oleh Astro AWANI dalam pemantauan pengoperasian rumah-rumah ibadah di sekitar bandar raya itu.

Terdahulu, Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha pada Isnin mengumumkan kebenaran untuk umat Islam menunaikan solat lima waktu di masjid dan surau.

Ia juga susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan peralihan negara kepada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan membenarkan beberapa sektor awam termasuk rumah-rumah ibadah beroperasi secara berperingkat.