KUALA LUMPUR: Mereka yang berfikiran sempit sahaja menganggap soalan ujian lisan subjek Bahasa Melayu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 tentang ‘perkahwinan idaman’ itu satu soalan remeh.

Jelas penganalisis sosiobudaya dari USCI University, Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi, banyak aspek boleh diteroka daripada soalan itu dalam melihat tahap pemikiran pelajar menghurai sesuatu topik.

Katanya, kreativiti dan kritisnya minda seseorang pelajar itu dapat dinilai daripada jawapan yang mencerminkan pandangan mereka terhadap makna perkahwinan itu sendiri.

“Kalau kita tengok keadaan jawapan yang boleh diberikan, contohnya seseorang itu boleh menjawab bahawa dia tidak mahu berkahwin kerana mahu menjadi sami atau paderi dan sebagainya, untuk memberi tumpuan kepada ketuhanan, atau dia nak jadi pejuang dalam masyarakat atau ‘berkahwin’ dengan kariernya.

“Kita boleh tengok dari sudut ekonomi, bagaimana perkahwinan idaman dahulu memakan belanja yang banyak dan sekarang (berkahwin di waktu pandemik) penjimatan wang itu agak signifikan dan lebihan wang itu boleh dibuat pelaburan dan sebagainya.

“Ada juga aspek politik yang kita boleh lihat, misalnya seseorang itu boleh berkata dia mahu berkahwin dengan selain daripada kaum saya - Melayu kahwin dengan Cina, India kahwin dengan Kadazan - jadi kita dapat menjadi masyarakat yang benar-benar majmuk, supaya ahli-ahli politik mati akal nak mainkan isu-isu perkauman,” katanya.

Malah, kata Tajuddin, mereka di kumpulan usia itu, yakni berumur 18 tahun, dilihat sudah cukup matang untuk berfikir tentang persoalan tersebut yang akan menjadi salah satu episod penting dalam kehidupan mereka kelak.

“Hanya orang yang berfikiran sempit sahaja yang kata bahawa ini satu aspek yang agak remeh. Macam mana boleh kata remeh kalau umur 18 sudah boleh mengundi (memilih) kerajaan?

“Jadi, kalau (dalam isu ini) nak membina keluarga, bukankah keluarga itu unit pertama kerajaan?”

Soalan ‘perkahwinan idaman’ SPM: Hanya yang berfikiran sempit anggap ia soalan remeh - Dr. Tajudin Rasdi

Bagaimanapun, pakar psikologi kanak-kanak dan remaja dari SEGi University, Prof Datin Dr Mariani Md Nor melihat soalan tersebut tidak berapa wajar untuk diajukan dalam peperiksaan penghabisan sekolah menengah itu.

Jelasnya, tahap perkembangan usia pelajar di peringkat itu masih belum sesuai untuk berbicara tentang persoalan tersebut yang sepatutnya lebih menjurus kepada silibus yang diajarkan.

“Soalan yang diajukan tentang ‘perkahwinan idaman’ itu memang boleh ada peringkat analisis, sintesis dan sebagainya.

"Cuma tahap atau paras sintesis dan analisis peringkat teksonomi Bloom itu pada saya tidak mencapai pemikiran yang sepatutnya dalam zaman teknologi ini, sesuai pula dengan Revolusi Perindustrian 4.0 yang digembar-gemburkan.

“Kita dah maju dalam zaman teknologi, tapi tajuk kita masih daripada zaman-zaman yang sebelum ada teknologi,” katanya.

Justeru, menurut Mariani, banyak lagi perkara serius yang boleh diajukan untuk membentuk minda remaja supaya pemikiran kritikal dan kritis mereka dapat disediakan dengan suasana persekitaran di peringkat sekolah rendah dan menengah, sesuai dengan pentaksiran dan penilaian yang diberikan pihak kementerian itu sendiri.

Soalan ‘perkahwinan idaman’ SPM: Tidak sesuai dengan tahap perkembangan usia pelajar - Dr. Mariani

Tonton sesi penuh “Agenda AWANI: Soalan Lisan SPM Cetus Perbalahan” di sini:

Agenda AWANI: Soalan lisan SPM cetus perbalahan