Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kini amat lemah dan gagal menangani pelbagai isu fitnah khususnya di laman media sosial akhir-akhir ini.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata SKMM juga tidak mengambil tindakan tegas kepada pihak yang menyebarkan berita-berita palsu berteraskan politik, perkauman dan agama selain hanya membiarkannya menular di alam maya.

"Pada pandangan peribadi saya, SKMM kini terlalu lemah untuk menangani penyalahgunaan media sosial oleh kalangan yang tidak bertanggungjawab khususnya puak-puak cybertrooper pembangkang yang sedang memainkan berita-berita palsu untuk membangkitkan kemarahan rakyat pada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Penularan berita-berita palsu berteraskan sentimen perkauman dan agama berlaku secara berleluasa dalam media sosial dan kalangan yang tidak bertanggungjawab ini terlalu bebas menyalahgunakannya di laman berkenaan.

"SKMM tidak harus bagi muka dan terlalu berlembut membiarkan budaya menyebar berita-berita palsu untuk membangkitkan kebencian kaum dan agama secara sewenang-wenangnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

BACA: Isu dana RM90 juta: SPRM harus dirombak semula - Khairuddin

BACA:
Pinda hukuman, banteras lanun digital - Gobind

Jelasnya, hak untuk bebas bersuara seharusnya dihormati tetapi ianya mesti bersandarkan kepada asas kebenaran.

"Tindakan tegas harus dikenakan kepada pihak yang menyebar berita tanpa fakta yang betul dan ia tiada komporomi tidak kira dari mana-mana pihak sekalipun.

"Sepatutnya, SKMM harus berdikari dan berfungsi secara bebas tanpa sebarang bentuk kompromi pada penyalahgunaan media sosial di negara kita.

"Perbuatan buruk yang tidak bertanggungjawab ini boleh mengakibatkan berlakunya huru-hara serta mengujudkan ketidakstabilan politik yang bakal mencemaskan rakyat di peringkat akar umbi," tegasnya.

Khairuddin memberitahu, rakyat berharap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh, dapat memberi perhatian ke arah mengemaskinikan lagi mutu pentadbiran SKMM sebagai satu badan yang effektif bagi memerangi polemik berita-berita palsu.

"Setakat ini, SKMM amat lemah dan tidak berkesan bagi memainkan peranan proaktif untuk menangani berbagai bentuk berita-berita palsu yang menular dengan hebat melalui laman-laman media sosial di tanahair kita.

"Rakyat malaysia memerlukan input-input berita berasas dan bukannya matlumat-matlumat fitnah yang boleh menyebabkan kebencian sesama rakyat berbilang kaum.

"Dalam isu ini, SKMM harus terus dirombak sehingga badan ini dapat berfungsi secara effektif kearah menjaga kualiti penyebaran matlumat-matlumat yang berasas demi untuk menjamin pembangunan semula negara secara licin tanpa gangguan dari sebarang bentuk berita-berita yang tidak benar," katanya.

Tambahnya, Gobind kini gigih membuat pelbagai perubahan termasuk dasar 'buka pintu' yang amat disenangi pelbagai pihak.

Ujarnya, pelbagai pembaharuan sedang dilaksanakan Gobind tetapi tidak semua harus dibebankan di atas bahu menteri semata-mata.