KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil akan memfailkan permohonan supaya kes samannya terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo, Ahmad Dusuki Abd Rani dan Mohd Fauzan Madzlan dibicarakan bersama.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi memaklumkan perkara itu kepada Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain pada pengurusan kes hari ini.

"Pihak kami akan memfailkan permohonan itu minggu depan," kata peguam itu.

Peguam Nur Naqibah Sakinah Abdul Razak yang mewakili Mohd Fauzan dan peguam Mohd Jamil Yaacob mewakili Ahmad Dusuki tidak membantah permohonan tersebut.

Roz Mawar kemudian menetapkan 7 Okt ini untuk mendengar permohonan berkenaan dan mengarahkan pihak-pihak terlibat memfailkan pernyataan saksi pada 27 Sept ini.

Ditemui pemberita selepas prosiding, Asheeq Ali berkata pihaknya akan mengemukakan tiga atau empat saksi termasuk Fahmi untuk memberikan keterangan pada perbicaraan kes saman itu.

Saman itu difailkan Fahmi selaku plaintif secara berasingan pada 5 Sept tahun lepas, berhubung dakwaan kononnya Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.

Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook "N13 Kuang" milik Mohd Fauzan dan Instagram penceramah bebas, Ahmad Dusuki pada 31 Julai 2023 serta di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos, tahun sama.

Fahmi berkata kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.

Oleh itu plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.

-- BERNAMA