PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan semua dakwaan yang dibuat terhadapnya dan kerajaan Malaysia dalam salah satu kempen ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Dakwaan Anak Angkat Amerika: Anwar membantah tuduhan yang menyatakan beliau sebagai anak angkat Amerika Syarikat (AS).
  • Pinjaman IMF dan Isu Yahudi: Kementerian Kewangan (MOF) juga dituduh meminjam wang dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan Anwar disebut mengikut tunjuk ajar Yahudi. Beliau menegaskan bahawa fitnah ini tidak berasas.
  • Peringatan Kepada Penjawat Awam: Anwar mengingatkan penjawat awam agar tidak terikut dengan tindakan pembangkang yang memfitnah. Beliau menekankan pentingnya mengikuti isu dengan bijak dan tidak terlibat dalam ceramah politik yang merendahkan orang lain.


Antara tuduhan itu adalah mendakwa beliau sebagai anak angkat Amerika Syarikat (AS), Kementerian Kewangan (MOF) meminjam wang Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan beliau mengikut tunjuk ajar Yahudi.

Anwar turut meluahkan kekesalan kerana yang bercakap perkara itu adalah seorang bergelar ustaz, berjubah dan berkopiah tetapi melempar fitnah secara terang-terangan.

Perdana Menteri turut mengingatkan penjawat awam supaya tidak terikut dengan tindakan pembangkang berhubung isu penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

“Rakan-rakan penjawat awam harus ikuti (isu ini), itu bukan ceramah politik maki hamun orang, dajalkan orang, kafirkan orang (seperti) yang mereka lakukan di Sungai Bakap.

“Saya dipanggil anak angkat AS, Kementerian Kewangan pinjam daripada IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan saya ikut nasihat Yahudi.

“Ikut sahaja cakap ustaz, pakai kopiah dan jubah, tetapi fitnah terang-terang. Fakta itu di sebaliknya, mana mungkin saudara.

“Jadi saya memilih untuk menjelaskan kerana jika saya lakukan sebegitu, penjawat awam nak pertahankan Perdana Menteri yang bagaimana? Menjadi alat Amerika Syarikat?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi 2024 Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya pada Rabu.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ahad lalu, ADUN Sungai Burong, Mohd Zamri Mantop dilaporkan mendakwa Anwar sewaktu menjawat Menteri Kewangan meminjam dana daripada IMF selain menggelarkan Ahli Parlimen Tambun itu sebagai anak angkat Amerika.

Semua tuduhan itu dilemparkan ketika beliau berucap di atas pentas dalam salah satu kempen Perikatan Nasional (PN) di Sungai Bakap baru-baru ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan penjawat awam perlu mengikuti perkembangan dan mengetahui perkara sebenar dalam isu berkaitan BlackRock supaya tidak terpengaruh dengan dakyah tidak benar.

Tegasnya, meskipun sudah berulang kali diberikan penjelasan, fitnah terus dilemparkan kononnya kerajaan sudah menjual kepentingan negara kepada syarikat yang bekerjasama membunuh orang Islam di Gaza.

“Saya sudah menjawab di Parlimen semalam dan sebab itu saudara harus tahu, apa yang berlaku dalam MAHB yang mana dahulu pegangan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah 41 peratus, 27 peratus pegangan asing.

“Sekarang pegangan Khazanah dan KWSP naik kepada 70 peratus, Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) ada 30 peratus. Jadi kerajaan masih memiliki 70 peratus,” katanya.

Beliau menegaskan, penjawat awam juga tidak boleh mengambil sikap defensif dan menerima baik setiap teguran atau kritikan, termasuk berhubung laporan Indeks Daya Saing Dunia 2024

“Harus kita lihat dalam konteks keseluruhannya, prestasi keseluruhan tidak terlalu teruk, kalau diperinci ada beberapa aspek yang nampak merudum, menurun, antara lain kerana bukan soal kecekapan atau penyelewengan rasuah, ia ketimbang prestasi tahun 2022.

“Umpamanya pertumbuhan pasca COVID-19 itu melonjak cepat kerana ‘threshold’ asas ketika itu sudah negatif, jadi apabila ada positif, ia melonjak tinggi tetapi tahun berikutnya tidak dapat capai keadaan sama kerana ‘treshold’ itu ialah tahun sebelumnya.

“Jadi kita tak harus ambil sikap defensif, cuma fakta itu harus disampaikan, kerana tentu ada sebahagian yang menghebahkan seolah-olah ada kelemahan besar,” katanya lagi.