BANGKOK: Pemecatan Srettha Thavisin sebagai Perdana Menteri Thailand setelah hanya 11 bulan berkhidmat adalah mengejutkan, menurut seorang ahli sains politik.

Ahli Sains Politik dari Universiti Sukhothai Thammathirat Profesor Madya Dr Yuttaporn Issarachai berkata keputusan Mahkamah Perlembagaan itu sangat tidak dijangka.

"Politik Thailand sentiasa di luar jangkaan dan mulai sekarang, kita perlu memerhatikan kerajaan baharu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Beliau berkata pertempuran antara ideologi parti rakyat dan parti-parti gabungan semasa akan menjadi semakin sengit.

Bagaimanapun, bagi seorang peniaga makanan Somchai Chanma, 27, berkata beliau amat kecewa dengan keputusan mahkamah kerana Srettha telah bekerja keras untuk rakyat.

Somchai berkata beliau mengharapkan pelaksanaan dasar dompet digital untuk rakyat tetapi ia tidak pernah menjadi kenyataan.

"Ekonomi sudah teruk, dan sekarang ia akan menjadi lebih teruk. Saya berharap Perdana Menteri tetap datang daripada parti Pheu Thai dan menstabilkan kembali politik dan ekonomi," katanya.

Mahkamah Perlembagaan pada Rabu memutuskan Srettha Thavisin dilucutkan daripada jawatan perdana menteri selepas didapati bersalah melantik Pichit Chuenban sebagai menteri walaupun mengetahui rekod sabitan kesalahan Pichit kerana menghina mahkamah.

Dalam undian majoriti 5-4, Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa kedudukan Perdana Menteri Srettha Thavisin sememangnya tidak lagi wujud kerana kekurangan integriti, kehilangan kelayakan di bawah Perkara 160 (4) Perlembagaan serta tindakannya melanggar piawaian etika yang serius seperti yang dinyatakan dalam Perkara 160 (5).

Srettha, 62, adalah seorang eksekutif hartanah sebelum menceburi bidang politik dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Thailand yang ke-30 pada 5 September lepas.

Pada penghujung 2022, beliau mengumumkan hasratnya untuk menyertai parti Pheu Thai dan kemudiannya dilihat sebagai seorang daripada calon perdana menteri yang berpotensi.

-- BERNAMA