BANGKOK: Raja Thailand Raja Maha Vajiralongkorn memberi perkenan untuk meluluskan pelantikan Paetongtarn Shinawatra sebagai Perdana Menteri ke-31 negara itu.

Paetongtarn, 37, menerima perkenan diraja secara bertulis daripada Raja Maha Vajiralongkorn dalam satu majlis di ibu pejabat Pheu Thai pada pagi Ahad, dua hari selepas dipilih oleh parlimen.

Beliau turut memberi penghormatan kepada potret Raja Maha Vajiralongkorn sebagai simbolik menerima Perintah Diraja untuk menjadi Perdana Menteri ke-31.

Terdahulu, Paetongtarn tiba di majlis itu kira-kira 8.20 pagi dengan diiringi bapanya Thaksin Shinawatra dan anggota Kabinet sementara Thailand.

Paetongtarn merupakan perdana menteri termuda negara itu menggantikan Srettha Thavisin yang dilucutkan daripada jawatan oleh Mahkamah Perlembagaan pada Rabu (14 Ogos).

-- BERNAMA