BANGKOK: Parlimen Thailand akan bersidang pada Jumaat ini bagi mengadakan mesyuarat khas memilih Perdana Menteri baharu susulan keputusan mahkamah yang menyingkirkan Srettha Thavisin pada Rabu.

Dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Dewan Perwakilan, Leftenan Polis Kanan Arpath Sukhanunth, beliau memaklumkan bahawa Speaker Dewan Rakyat, Wan Muhamad Noor Matha menghantar notis kepada semua Ahli Parlimen (MP) pada petang Rabu, menyeru mereka untuk hadir ke mesyuarat yang akan diadakan pada 10 pagi, Jumaat.

"Ahli Parlimen akan mengundi untuk mempertimbangkan individu yang sepatutnya dilantik sebagai Perdana Menteri mengikut Seksyen 159 Perlembagaan Kerajaan Thailand," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Rabu, Mahkamah Perlembagaan Thailand memutuskan Srettha Thavisin dilucutkan daripada jawatan perdana menteri selepas didapati bersalah melantik seorang menteri yang mempunyai rekod jenayah pada Mei lalu.

Sementara itu, media tempatan melaporkan bahawa Phumtham Wechayachai daripada parti Pheu Thai telah dinamakan sebagai pemangku Perdana Menteri, kerana beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri Pertama dan juga Menteri Perdagangan di bawah pentadbiran Srettha.

Perlembagaan Thailand menetapkan bahawa untuk menjadi Perdana Menteri, calon perlu mendapat sokongan majoriti daripada keseluruhan 493 Ahli Parlimen sedia ada, yang bermakna calon itu perlu memperoleh sekurang-kurangnya 248 undi.

Daripada jumlah keseluruhan 500 kerusi parlimen, enam Ahli Parlimen Parti Move Forward (MFP) dilarang berkhidmat selepas parti itu dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan minggu lalu, manakala seorang Ahli Parlimen Nakhon Si Thammarat digantung tugas kerana terlibat dalam membeli undi.

-- BERNAMA