Memetik laporan AP, keputusan itu diambil setelah lima hakim menyokong aduan yang dikemukakan manakala empat lagi menolak.
Perkembangan itu sekali gus menyaksikan Thailand kembali berkisar dalam kesulitan politik dan perlu melantik Perdana Menteri yang baharu.
Agensi berita itu menambah Kabinet ketika ini akan berfungsi secara sementara sehingga Parlimen meluluskan Perdana Menteri baharu.
"Mahkamah telah mendapat undian 5:4 bagi keputusan menamatkan tugas Perdana Menteri Mengikut Perlembagaan Perkara 170, Perenggan 1-4 kerana tiada kejujuran dan kelayakan mengikut Perlembagaan Perkara 160, Perenggan 1-4.
"Individu sama juga telah menunjukkan perilaku yang melanggar standard etika yang bertentangan dengan Perlembagaan Perkara 160," memetik keputusan hakim.
Pada 22 Ogos tahun lalu, Parlimen Thailand meluluskan Srettha menjadi Perdana Menteri ke-30, sekali gus menamatkan kebuntuan politik yang berlarutan selama tiga bulan.
Kesepakatan itu dicapai pada hari sama kepulangan bekas Perdana Menteri digulingkan, Thaksin Shinawatra ke tanah air setelah hidup dalam buangan selama 15 tahun.
Media tempatan melaporkan Srettha, 61, memperoleh 374 undi majoriti yang diperlukan dengan mudah termasuk daripada kalangan senator yang dilantik junta tentera selepas penolakan pemimpin Parti Move Forward (MFP), Pita Limjaroenrat dalam dua pusingan undi.
Pada 7 Ogos lalu, mahkamah sama membuat keputusan bahawa Pita dilarang menyertai politik selama 10 tahun dan MFP yang menang besar pada Pilihan Raya Umum dibubarkan.
Keputusan sebulat suara itu dibuat mahkamah susulan kontroversi dicetuskan MFP berhubung rancangan mereka untuk melakukan pembaharuan terhadap undang-undang lese-majeste.