Pandangan ini disuarakan Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Libatsama Komuniti) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Datuk Dr Mohamad Fauzan Noordin.
Katanya, wakil rakyat perlu berhujah dengan fakta bagi memastikan sesi perbahasan di Dewan Rakyat dilakukan dengan profesional dan beradab.
Menurut Mohamad Fauzan, Ahli Parlimen boleh mencontohi pendekatan pendebat profesional yang menghormati pandangan lawan, walaupun wujud perbezaan pendapat.
"Ahli Parlimen perlu menghayati konsep 'agree to disagree' dengan menghormati pandangan berbeza. Bukannya menolak terus pandangan pihak lain dengan emosi.
"Oleh itu, saya rasa, pendekatan pendebat universiti wajar dijadikan contoh, di mana setiap hujah disokong oleh fakta yang jelas dan tersusun," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program AWANI Pagi hari ini ketika berkongsikan berkenaan kejayaan UIAM dalam pertandingan debat antarabangsa.
Ujarnya, pendekatan ini bukan sahaja mencerminkan kematangan demokrasi, tetapi juga memastikan keputusan yang dibuat bermanfaat untuk kepentingan rakyat.
Baru-baru ini, pasukan debat Bahasa Inggeris UIAM mencatatkan kejayaan luar biasa di World Universities Debating Championship (WUDC) 2025 yang berlangsung di Panama, Amerika Tengah.
Pasukan itu diwakili Anas Ahmad Zaharim, pelajar jurusan undang-udang dan Nor Atifa Wan Saifulruddin, pelajar dari Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Abdulhamid Abusulayman.
Mereka berjaya melangkah ke pusingan menang mara selepas berjaya dalam kelompok 48 pasukan terbaik dalam kategori terbuka.
UIAM merupakan satu-satunya universiti dari Asia Tenggara yang berjaya mara ke tahap ini.