WASHINGTON: Agensi pentadbiran Amerika Syarikat (AS) yang menyelia pekerja Persekutuan menegaskan, kakitangan kerajaan boleh sahaja mengabaikan e-mel daripada jutawan teknologi, Elon Musk yang mengarahkan mereka memberi justifikasi terhadap pekerjaan masing-masing.

Arahan Musk itu telah mencetuskan tentangan luar biasa daripada beberapa agensi.

E-mel daripada Musk mengarahkan setiap daripada 2.3 juta pekerja perkhidmatan awam negara itu untuk menyediakan ringkasan lima perkara mengenai tugas mereka sebelum 11.59 malam waktu Timur.

Ini mencetuskan persoalan sejauh mana kuasa yang dimiliki oleh orang terkaya di dunia itu dalam usaha

Presiden Donald Trump untuk mengecilkan saiz kerajaan AS.

Pada hari yang sama, seorang hakim Persekutuan menghalang pasukan pengecilan saiz kerajaan yang dibentuk oleh Trump dan diketuai oleh Musk daripada mengakses data sensitif yang disimpan oleh Jabatan Pendidikan AS dan Pejabat Pengurusan Personel AS (OPM).

Menurut e-mel dalaman Jabatan Kehakiman yang dilihat oleh Reuters, OPM memberitahu, pegawai sumber manusia di agensi Persekutuan pekerja tidak akan dipecat jika tidak membalas e-mel Musk dan mereka tidak diwajibkan untuk memberi maklum balas.

Memo itu menyatakan memberi maklum balas kepada e-mel tersebut adalah secara sukarela.

Dalam masa sama, memo itu menasihatkan pekerja supaya tidak berkongsi maklumat sulit, sensitif atau rahsia dalam jawapan mereka, berikutan kebimbangan yang dibangkitkan oleh pengkritik terhadap tindakan Musk itu.

Dengan kekeliruan yang semakin memuncak di seluruh kerajaan, beberapa agensi Persekutuan sebelum ini mengarahkan pekerja mereka untuk mematuhi arahan itu, manakala agensi lain tidak berbuat demikian.

Penolakan terhadap arahan Musk oleh beberapa ketua agensi memperlihatkan tanda-tanda awal penentangan dalaman terhadap pendekatan tegasnya dalam mengecilkan saiz kerajaan Persekutuan.

Inisiatif pengecilan saiz kerajaan oleh Musk turut memberi kesan kepada ekonomi AS yang lebih luas, memaksa syarikat yang menjalankan perniagaan dengan kerajaan memberhentikan pekerja mereka dan menangguhkan pembayaran kepada pembekal.

Mesej yang dihantar oleh Musk pada hari Sabtu mengejutkan beberapa pegawai pentadbiran, menurut dua sumber yang mengetahui situasi tersebut.

Menambah kekeliruan, Trump menyokong tindakan Musk itu.

“Saya fikir ia hebat,” katanya kepada pemberita di White House.

“Ia menunjukkan kepintaran yang tinggi dalam menghantarnya. Kami cuba mengetahui sama ada orang benar-benar bekerja.”

Pada Isnin, sekumpulan kesatuan sekerja yang sebelum ini meminta hakim Persekutuan menghentikan pemberhentian besar-besaran mengemas kini tuntutan mahkamah mereka untuk meminta e-mel Musk diisytiharkan sebagai tidak sah.

Sebelum arahan OPM dikeluarkan, pegawai kanan di Jabatan Kehakiman serta Jabatan Pertahanan, Negara dan Keselamatan Dalam Negeri dan beberapa agensi lain telah memberitahu pekerja supaya tidak bertindak balas di luar saluran rasmi masing-masing.

Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia serta Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan pada mulanya mengarahkan pekerja untuk bekerjasama, kemudian mengubah arahan untuk tidak melayan e-mel tersebut.

Bagaimanapun, Jabatan Pengangkutan, Jabatan Perbendaharaan dan agensi bebas seperti Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan dan Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan mengarahkan pekerja mereka untuk menjawab e-mel Musk.

Sejak kembali menerajui AS pada 20 Januari lalu, Trump telah membekukan bantuan asing bernilai berbilion dolar dan membubarkan Agensi Pembangunan Antarabangsa AS, menyebabkan bekalan perubatan dan makanan terbiar dalam gudang.

Beliau turut mengarahkan pekerja di Biro Perlindungan Kewangan Pengguna untuk berhenti bekerja, walaupun mereka juga menerima e-mel Musk yang meminta mereka menyenaraikan aktiviti kerja sepanjang minggu lalu.

Pentadbiran Trump juga menawarkan pakej pemberhentian sukarela kepada 75,000 pekerja.

Dalam beberapa kes, kerajaan terpaksa mengambil semula pekerja yang menjalankan fungsi kritikal seperti pengawasan senjata nuklear dan tindak balas terhadap selesema burung.

Pengecilan saiz ini turut mencetuskan gelombang tuntutan mahkamah.

Charles Farinella, seorang ejen IRS yang dipecat di New York berkata, beliau keliru sama ada perlu membatalkan janji temu dengan doktor gigi kerana belum dimaklumkan tentang status perlindungan insurans pekerjaannya.

“Saya tak tahu apa nak buat sekarang. Mungkin saya kena jual rumah sebab tak ada pampasan pemberhentian atau apa-apa,” katanya.

“Saya betul-betul rasa tertekan.”

Musk yang juga pengasas kereta elektrik, Tesla dan platform media sosial X menyatakan rancangannya untuk mengurangkan AS$1 trilion daripada bajet kerajaan AS sebanyak AS$6.7 trilion. - Agensi