KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan cubaan menyeludup 20 biri-biri seberat lebih 600 kilogram di Kampung Seri Merbau, Pasir Mas pada Sabtu lepas.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan itu dilakukan selepas anggota Batalion 8 menemui sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di kampung berkenaan kira-kira 9.20 malam menerusi rondaan Op Taring Wawasan.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 20 biri-biri ditemui di dalam lori tersebut dengan nilai rampasan termasuk lori berjumlah RM115,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan kesemua barang rampasan dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya. - BERNAMA



TAG: PGA, biri-biri, seludup, lori, Op Taring Wawasan