SUNGAI SIPUT: Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta berjaya membongkar kegiatan memproses sisa terjadual secara haram dengan nilai rampasan lebih RM1.3 bilion dalam serbuan ke atas sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Rimba Panjang, Sungai Siput, pada Sabtu.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, dalam serbuan kira-kira jam 9.30 pagi, pihaknya turut menahan 27 individu, termasuk seorang pemilik tempatan dan seorang saintis dari China.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, didapati kilang itu menyimpan dan memproses sisa terjadual, termasuk sisa elektronik yang dipercayai dibawa masuk melalui kontena dari beberapa negara luar seperti Amerika Syarikat, Bolivia, Oman dan Thailand.

Turut dirampas adalah kenderaan dan pelbagai mesin.

"Keluasan kawasan kilang ini adalah lebih kurang 12 ekar dan terdapat empat bangunan kilang yang telah siap dibina dan satu lagi di tanah kosong dalam proses pembinaan.

"Dan daripada pemeriksaan kita dapati kilang ini dalam proses untuk membuat pagar dan meningkatkan lagi infrastruktur. Dan dipercayai kilang ini telah menjalankan operasi lebih kurang dalam lapan ke sembilan bulan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kawasan Perusahaan Rimba Panjang, Sungai Siput, pada Ahad.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kilang itu dilengkapi pelbagai peralatan dan jentera, termasuk 10 generator, untuk memproses sisa terjadual sehingga dimampatkan, sebelum dieksport.

"Di samping itu, terdapat sebuah makmal yang dikendalikan saintis warga China, dipercayai untuk membuat penyelidikan dari segi kualiti dan kuantiti bahan yang telah diproses," katanya.

Shahrum berkata, tangkapan yang dibuat membabitkan dua lelaki tempatan, 11 lelaki warga China selain 10 lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak Myanmar berusia dua tahun.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 34A (6) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 kerana tiada kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Seksyen 14 Akta sama kerana tiada lesen serta Akta Imigresen 1959/63.